Just some thought on the go

Memories are made of this.....

Wednesday, August 31, 2022

Merdeka.... Independence..... Bebas

Sempena bulan kemerdekaan ini, tidak kisah lah sama ada 31 Ogos ataupun 27 Julai ataupun 16 September, yang penting nya, bagaimana kita menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Merdeka. Sepatah perkataan yang amat keramat bagi penghuni sesebuah kawasan yang tiada hak untuk bersuara. Tiada hak untuk bergerak. Tiada hak untuk meminta. Segala yang dipunyai nya pasti akan dirampas sebahagiannya mahupun semuanya. Ramai yang tahu perasaannya tapi hanya segelintir saja yang berani bertindak. Tak perlu diceritakan di sini kerana pasti kita mengetahui sejarahnya.

Namun, merdeka yang sebenarnya adalah merdekanya jiwa kita diri sendiri. Apakah ataupun bagaimanakah merdekanya jiwa? Agak sukar untuk diungkaikan namun akan cuba untuk di jelaskan disini.

Pernahkah anda merasa terkongkong tanpa ada yang mengongkong anda. Samada pekerjaan, keluarga, komuniti, kewangan dan sebagainya. Walaupun secara langsung , benda-benda seperti ini tidak lah memaksa anda untuk memberi komitmen anda kepadanya namun, secara tidak sedar, ianya mengongkong anda dan merampas perasaan bebas anda. Pasti ada masanya anda akan berbisik, bila lah nak bebas dari semua ini? Jiwa kita memberontak untuk merdeka. Hati kita kekadang tidak tenteram. Perasaan amarah kita kekadang meletus walau hanya untuk perkara-perkara yang kecil.

Inilah yang dimaksudkan dengan kebebasan jiwa. Selalunya, umur dalam lingkungan 25-38, akan mengalami perkara ini. Jiwa muda. Semangat membara. Akal fikiran sentiasa aktif namun berserabut. Namun, banyak yang hilang arah kerana hidup ini, tidak didatangkan dengan buku panduan. Bagi pasangan yang baru berumahtangga, ujian dalam alam rumahtangga selalu berlaku disini. Yang cekal akan mengharunginya dengan tenang dan sabar. Yang tiada kesabaran dan pemikiran matang, akan tewas. Hanya bila dalam lingkungan umur 35-36 tahun, mereka akan mulai nampak arah dan mulai memikirkan hari-hari mendatang. Ada yang mulai menyimpan wang, ada yang mulai mengumpul harta, ada yang mulai mencari iman, ada yang mulai menjaga kesihatan. Disini, kesabaran mulai terkawal namun ujian tetap datang dari pelbagai arah. Nafsu di usia ini makin kuat dan bila gagal dikawal, maka gagal lah pemikirannya. Kebebasan sebenar pasti gagal dikecapi jika gagal mengawal nafsu. 

Janji Allah itu pasti seperti firmanNya dalam ayat alAhqaf ayat 15 yang bermaksud:

"Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Masa mengandung sampai menyusunya selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (anak itu) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun dia berdoa, “Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redai; dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sungguh, aku termasuk orang muslim.”

Life begins at 40, like a lot of people are saying. Tapi sebelum umur 40 tiba, persediaan untuk kearah itu mestilah teguh. Persediaan itu pula bukannya boleh dilakukan selama sebulan dua, tapi mengambil masa setahun dua. Jadi, bila dah sampai umur 37-38 tahun, bersedialah untuk menerima perubahan dari segi mental. Perubahan dalaman dan luaran. Carilah teman atau penunjuk arah yang tepat. Perlahan-lahan lah berubah. Jangan terlalu drastik hinggakan kita sendiri tidak selesa dengan perubahan kita. Jika jiwa kita memberontak, maka perasaan bebas itu tidak akan hadir secara semulajadi. Kita inginkan kemerdekaan jiwa kita tanpa kekacauan akal fikiran. Bacalah artikel-artikel ilmiah. Dengarlah ucapan-ucapan yang baik. Buatlah amal jariah walaupun sedikit. Sedekahlah semampunya. Dan yang paling penting, usaha untuk dirikanlah solat walau apapun halangan. Tak kisahlah apa yang sedang dilakukan, baik sedang bertugas, sedang berjamuan, sedang bersukan, sedang berhibur, usahakan untuk bersolat. Sehingga sampai satu tahap dimana jika tidak sujud kepada Allah pada waktunya, hatimu tak akan tenang. Rasa bersalah dan berdosa itu menebal dalam diri. Itulah hidayah. Bila sampai hidayah Allah, masya-Allah, pasti kamu akan tahu apa itu Kemerdekaan jiwa. 

Segalanya akan menjadi tenang. Hari-harimu akan menjadi ceria. Kawalan pemikiranmu menjadi lancar. Percakapanmu mudah difahami. Segala yang dilakukan akan menjadi ikhlas. Perasaan tawaduk itu hadir. Kita mudah memaafkan. 

Maka itulah kebebasan yang ingin kita kecapi. Merdeka bukan dari pandangan perundangan tapi Merdeka dari diri kita yang lama. Kita yang panas, baran, berdendam, tiada kesabaran, bangga diri, sombong, riak dan segalanya. 

Perasaan jiwa bebas, ikhlas, tenang dan sentiasa rindu kepadaNya. 

Salam Hari Kebangsaan. Adios